Model Pengajaran Pemprosesan Maklumat

Implikasi


IMPLIKASI MODEL PEMPROSESAN MAKLUMAT DALAM PNP

·       Guru mengajar sesuatu pengajaran dengan mengaitkan maklumat baharu dengan maklumat yang tersimpan dalam ingatan jangka panjang untuk membolehkan maklumat baharu dapat disimpan lebih lama.  Kaedah pengajaran ini dikenali sebagai latihan elaboratif. 
 
·       Bagi mengukuhkan ingatan pelajar terhadap sesuatu pengajaran yang telah dipelajari, guru seharusnya memperbanyakkan latihan agar pengajaran yang dipelajari lebih difahami.  Hal ini kerana latihan mempunyai konsep pengulangan yang akan membantu ingatan lebih lama dan turut dikenali sebagai maintenance rehearsal.
 
·         Selain itu, guru seharusnya mengulangi beberapa kali maklumat yang dianggap penting supaya pelajar dapat menyimpan maklumat tersebut lebih lama.
 
·         Bagi pelajar yang sukar mengingat sesuatu yang berkapasiti banyak seperti huruf abjad (a-z) atau deretan nombor seperti 77275241, guru digalakkan menggunakan kaedah chunking.  Sebagai contoh,  pelajar akan lebih mudah mengingati urutan huruf abjad melalui kaedah nyanyian.  Manakala deretan nombor pula diingati dengan membahagikan nombor-nombor tersebut kepada 4 chunk iaitu 77-27-52-41.

·        Semasa proses PnP dijalankan, guru perlu memberi kebebasan kepada para pelajar  untuk menonjol kreativiti mereka.  Sebagai contoh, sekiranya guru meminta pelajar melukis imej sekuntum bunga, guru tidak digalakkan untuk mengehadkan imej bunga kepada satu jenis bunga sahaja seperti pelajar dikehendaki melukis imej sekuntum bunga ros.  Hal seperti ini hanya akan menyekat kreativiti pelajar kerana kebanyakkannya melukis berdasarkan pemerhatian, pengalaman sendiri dan pengetahuan.

·         Selain itu, pembelajaran secara amali juga digalakkan bagi mengekalkan lebih lama maklumat baharu dipelajari.  Hal ini kerana pelajar dapat membina pengetahuan melalui pengalaman yang diperolehi melalui pembelajaran amali.
Implikasi Pendekatan Pengajaran Konsep
·        Guru seharusnya membuat penilaian terlebih dahulu terhadap konsep yang ingin diajar agar dapat memilih contoh yang paling sesuai untuk diguna semasa PnP dijalankan. 
 
·       Semasa PnP dijalankan, guru berperanan untuk memberi maklum balas terhadap idea pelajar, menggalakkan penglibatan pelajar melalui  teknik soal jawab dan perbincangan serta menyokong pelajar membentuk kebolehan penaakulan.  Selain itu, guru juga perlu memotivasikan para pelajar sepanjang PnP dijalankan.
 
·        Pelbagai pendekatan boleh digunakan oleh guru untuk menerangkan konsep pengajaran kepada para pelajar seperti pengajaran secara langsung dan pencapaian konsep.  Pendekatan yang digunakan haruslah bersesuaian dengan tahap pemikiran para pelajar.
Implikasi Pendekatan Pengajaran Ekspositori
·        Input tentang pembelajaran sangat penting. Guru harus menggunakan kaedah ekspositori untuk menyampaikan konsep-konsep dalam sesuatu topik pelajaran.  Sebelum mengajar topik “Perbandingan antara karnivor dengan herbivor” , pelajar perlu menguasai fakta dan konsep tentang kedua-dua jenis haiwan.

·      Idea dan konsep baharu harus bermakna kepada pelajar.  Guru digalakkan untuk menyusun isi pelajaran secara berperingkat agar pelajar dapat menerima pembelajaran yang berkesan.  Pelajar juga dilibatkan dalam proses pembelajaran seperti mengumpul maklumat, analisis, sintesis dan menyimpul pembelajaran.  Dengan yang demikian, pembelajaran akan lebih bermakna.

·      Menambat konsep-konsep baharu ke dalam struktur kognitif sedia ada akan memudahkan ingatan kembali konsep-konsep tersebut.  Guru perlu mengaitkan input baharu dengan pengetahuan sedia ada agar pelajar dpat menyimpan dalam skema secara tersusun.

·         Pembelajaran deduktif diamalkan di mana guru akan memberikan prinsip-prinsip am sebelum memberikan contoh-contoh spesifik.  Contohnya, jika guru ingin mengajar tentang konsep tiga segi, guru perlu memberikan definisi dan ciri-ciri tiga segi sebelum memberikan pelbagai jenis tiga segi yang spesifik. 
 

Implikasi Pendekatan Penyusun Awal
·       Bahan pembelajaran (input) harus disusun atur dengan baik.  Guru perlu bermula dengan penyusun awal dalam pengajarannya untuk menggerakkan minda pelajar menerima bahan pembelajaran yang baharu.  Contohnya, jika guru ingin mengajar topik “Haiwan Darat” , guru boleh menggunakan satu penyusun awal dalam bentuk gambar-gambar haiwan dan ciri-cirinya.. 
Implikasi Pendekatan Model Synetics
·        Pelajar akan diberi peluang untuk mereka cipta cara baru memerhati sesuatu, meluahkan sesuatu serta mendekati masalah.  Kesemua aspek ini berkaitan dengan pelajar membuat suatu analogi untuk mendekati sesuatu masalah. 
Implikasi terhadap murid berkeperluan khas
·        Guru perlu menggunakan bahan bantu mengajar berbentuk maujud dan konkrit agar isi pengajaran dapat difahami dengan lebih mudah.
 
·        Semasa PnP dijalankan, aktiviti dan teknik yang digunakan seharusnya menarik minat murid berkeperluan khas agar mereka senantiasa bermotivasi untuk belajar.
 
·       Guru juga perlu sentiasa mengulangi isi-isi penting dalam sesuatu konsep agar lebih difahami dan diingati oleh mereka.